Sunday 21 July 2013

Kisah Penurunan Surah Al-Falaq

Kisah Penurunan Surah Al-Falaq

Dalam riwayat Al-Baihaqi, diceritakan bahawa surah Al-Falaq dan An-Naas diturunkan pada masa Rasulullah SAW disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sham dengan sebelas simpulan tali, di mana setiap kali dibacakan satu demi satu ayat-ayat dari kedua surah tersebut, maka terlepaslah simpulan itu satu persatu. Kisah tentang disihirnya Nabi Muhammad SAW ini sendiri terdapat dalam Shahih Al-Bukhari.

Menurut Abdullah Yusuf Ali pula, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad SAW, terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. Dengan itu, Allah SWT menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.

Al-Imam Muhammad Abduh berkata: Dalam masalah ini, terdapat lebih banyak hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah SAW pernah disihir oleh Labid Ibn al-A’sam. Sihir itu telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri Baginda SAW, sehingga mengkhayalkan Baginda SAW dan menyebabkan Baginda SAW seolah-olah melakukan sesuatu padahal Baginda SAW tidak melakukannya, atau Baginda SAW seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda SAW tidak mendatanginya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan sihir itu dikeluarkan daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah Baginda SAW sembuh daripada penderitaannya dan diturunkan surah ini.

Keistimewaan Surah Al-Falaq

1. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apakah engkau tidak melihat ayat-ayat yang diturunkan malam ini yang belum pernah ada bandingannya. Ayat-ayat itu ialah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) dan ‘Qul A’udzu Birabbin Naas’ (An-Nas).”
(Hadis Riwayat Muslim RA)

2. Rasulullah SAW bersabda:

“Bacalah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) kerana kamu tidak dapat membaca mana-mana surah yang amat dicintai Allah SWT dan sangat cepat diterima Allah SWT, seperti surah ini. Maka semana mampu kamu janganlah kamu tinggalkannya.”

3. Disebut pada riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Kamu tidak dapat membaca apa-apa yang sangat pantas sampai kepada Allah SWT seperti ‘Qul A’udzu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq).”

No comments:

Post a Comment