Wednesday, 17 July 2013

Adab ketika marah

Adab ketika marah

Daripada Abu Hurairah RA: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berikan daku wasiat. Baginda SAW bersabda: 

"Janganlah engkau marah." Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda SAW tetap bersabda: "Janganlah engkau marah." 
(Riwayat Ahmad no. 8729, al-Bukhari no. 5765 dan al-Tirmizi no. 2020)

Menurut al-Khattabi, maksud larangan tersebut adalah menjauhi sebab-sebab yang mencetuskan marah dan jangan melakukan sesuatu yang mengarah kepadanya.

Adab-adab ketika marah :

1. Jangan marah kecuali kerana Allah SWT. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Demi Allah, Baginda tidak pernah marah kerana urusan peribadi yang beliau hadapi kecuali apabila larangan Allah dilanggar, maka beliau akan marah kerana Allah.” (Riwayat al-Bukhari no.6404)

2. Ingat kekuasaan dan keagungan Allah SWT ketika marah.

3. Menahan marah.

Allah SWT menyukai orang yang menahan marah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : “ … dan orang yang menahan marahnya dan memberi maaf kepada orang lain dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”
(Surah Ali Imran 3:134)

4. Berlindung kepada Allah SWT ketika marah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang yang marah mengucapkan A’uzubillah (aku berlindung kepada Allah), nescaya akan reda kemarahannya.” (Riwayat Ibn A’di)

5. Diam.

Daripada Imam Ahmad RA, maksud sabda Baginda SAW:

“Ajarilah, permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang daripada kalian marah, hendaklah ia diam.”

6. Mengubah posisi.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“Jika salah seorang daripada kamu marah ketika berdiri, maka hendaklah ia duduk. Apabila marahnya tidak hilang juga, maka hendaklah ia berbaring.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

7. Berwudhuk.

Marah itu api syaitan. Oleh sebab itu, sejukkan marah dengan berwudhuk.

8. Bersabar dan memaafkan.

Sebaik-baik orang yang marah, memaafkan orang yang dimarahinya. Maksud firman Allah SWT:

“Dan jika mereka marah, mereka memberi maaf.”
(Surah al-Syura 42:37)

9. Jangan berdendam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.” (Surah al-Nahl 16:126)

No comments:

Post a Comment